Wednesday, April 14, 2010

Hidroterapi Laut Fasa II


Hidroterapi  di lihat sesuai untuk perkembangan fizikal kerana kombinasi pergerakan motor kasar dan halus serta mental murid dapat dirangsang secara serentak. Pergerakan dalam air didapati lebih mudah dan bebas serta tidak dibebani oleh keperluan alatan sokongan selain daya apungan air sahaja.

Rangsangan air yang secara semulajadi dapat membantu murid tenang walaupun pada permulaannya sesetengah murid akan berasa takut untuk masuk ke dalam air. Perkara ini dapat diatasi dengan membawa murid ke kawasan cetek sebelum berpindah ke kawasan yang lebih dalam. Secara tidak langsung guru-guru telah melatih membina keyakinan diri murid-murid "water confidence".

Biasanya aktiviti ini dijalankan di kolam renang, Menyedari keupayaan keberkesanan aktiviti dalam program Hidroterapi Air Laut ini kepada murid-murid PPKI, Unit Pendidikan Khas, Pejabat Pelajaran Daerah Besut dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Alor Peroi dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Cawangan Besut telah memperkenalkan  “Program Pembinaan Sahsiah Kendiri Melalui Hidroterapi Air Laut” khusus untuk murid-murid Pendidikan Khas Integrasi di sekitar daerah Besut merangkumi murid dalam katogeri Austisme, Disleksia, Sindrom Down dan Murid yang Lambat Dalam Pembelajaran.

Pada 14 April 2010 yang lepas. Bertempat di Pantai Bukit Keluang, seramai 35 orang murid Program Pendidikan Khas Integrasi daripada 4 buah sekolah sekitar Besut iaitu Sekolah Kebangsaan Alor Peroi, Sekolah Kebangsaan Kuala Besut, Sekolah Kebangsaan Bukit Payung dan Sekolah Kebangsaan Alor Lintah telah dipilih untuk menjadi kumpulan pertama perintis program ini yang akan diadakan setiap bulan. Menariknya dalam program perintis ini apabila ianya juga turut disertai oleh murid dari katogeri Celebral Pasly yang berkerusi roda.

Melalui program hidroterapi air laut ini, Selain mampu membina dan meningkatkan keyakinan diri murid-murid,  ianya dapat memantapkan perkembangan fizikal dengan aktiviti-aktivi seperti regangan seterusnya melembutkan sendi dan meningkatkan daya ketahanan jantung dan otot-otot rangka. Didapati aktiviti ini lebih baik dilakukan di laut atau pantai.

Selain faktor kemasinan air laut berupaya membantu murid meningkatkan daya imunisasi. suasana alam sekeliling yang tenang boleh menjadi terapi minda. Melalui program ini juga murid PPKI diberi ruang dan peluang untuk berinteraksi dan menghargai alam semulajadi di Pantai Bukit Keluang yang sememangnya terkenal kerana keindahan dan keunikan pantainya yang tidak terdapat di tempat lain.

Antara aktiviti menarik dalam program hidroterapi kali ini apabila murid diajar membentuk beberapa formasi sewaktu latihan pengapungan badan. Sebagai meningkatkan kebolehan psikomotor kasar dan halus murid-murid terbabit, murid-murid didedahkan latihan menjulur dan membuat binaan pasir tanpa sebarang bantuan alat. Manakala murid yang dikenal pasti mempunyai masalah saraf, akan dikabus badannya dengan pasir pantai selama 20 minit untuk mendapatkan refleksi cengkaman pasir masin yang secara tradisionalnya dikenali mampu memulihkan pelbagai penyakit yang berkaitan dengan saraf.

Untuk menjayakan program ini seramai 18 orang guru dan pembantu pengurusan murid dari sekolah yang terlibat bersama 6 orang pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Cawangan Besut telah bertungkus lumus memastikan keselesaan dan keselamatan murid di sepanjang aktiviti dilangsungkan pada hari tersebut.

Guru Besar SK Alor Peroi, En. Zakaria bin Botok, turut bersama-sama turun padang untuk memberi sokongan dan galakan kepada murid-murid terbabit. Menurut beliau, usaha yang dirintis oleh SK Alor Peroi ini adalah satu peluang dan ruang kepada murid dan tenaga pengajar kelas pendidikan khas integrasi sekolah lain untuk berkongsi kepakaran, pengetahuan dan pengalaman yang ada di SK Alor Peroi supaya murid-murid di kelas sebegini diberikan corak pembelajaran yang lebih interaktif dan konkrit. Menurutnya lagi daerah ini beruntung apabila mempunyai seorang yang berkepakaran dalam bidang hidroterapi untuk kanak-kanak yang boleh memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengetahuan dengan guru-guru PPKI di daerah ini.

Melalui pendekatan program yang lestari sebegini akan meningkatkan minat murid datang ke sekolah. Bermaksud datang ke sekolah bukan hanya belajar di dalam bilik darjah sahaja, tetapi mereka juga akan di bawa belajar untuk berinteraksi dengan alam semula jadi yang berada di persekitaran mereka. Corak pembelajaran sebegini sememangnya sesuai dengan murid-murid di kelas Program Pendidikan Khas Integrasi.

Beliau juga turut melahirkan rasa gembira apabila ibubapa dan masyarakat mula lebih peka dan perihatin kepada kumpulan murid-murid ini setelah melihat ada ibubapa yang turut hadir bersama melihat bagaimana program ini dijalankan. Sekurang-kurangnya ibubapa memahami bagaimana anak-anak mereka dibimbing dengan penuh dedikasi oleh para guru mereka apabila mengikuti kelas PPKI ini dan berpeluang menjalani aktiviti yang tidak terdapat kepada murid biasa.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Unit Pendidikan Khas JPNT dan Pejabat Pelajaran Daerah Besut yang sentiasa memberi sokongan, kerjasama dan perhatian untuk menjayakan serta memastikan program hidroterapi ini berjalan dengan baik dan lancar.
-->